Ahad, 1 Januari 2017

Modul Baru Pendidikan Komputasional

Malaysia merupakan negara pertama di ASEAN merintis kurikulum ini. Pemikiran Komputasional dan Kurikulum Sains Komputer telah dimulakan di 24 sekolah perintis.

Pemikiran Komputasional diperkenalkan di sekolah rendah.

Sains Komputer diperkenalkan di sekolah menengah.


Sabtu, 2 Januari 2016

Teknik Dalam Pemikiran Komputasional


Terdapat empat teknik asas yang digunakan dalam pemikiran komputasional.

1. Teknik Leraian (Decomposition)

Teknik ini melibatkan peleraian satu masalah besar yang rumit kepada beberapa bahagian masalah kecil yang mudah untuk diselesaikan.

2. Teknik Pengecaman Corak (Pattern Recognition)

Apabila masalah yang besar telah dileraikan kepada bahagian masalah yang kecil, bahagian-bahagian ini akan dikaji untuk mengecam corak-corak tertentu.

3. Teknik Peniskalaan (Abstraction)

Teknik Peniskalaan melibatkan pemerhatian pada perkara yang penting yang diperlukan untuk penyelesaian masalah. Perkara yang tidak penting akan diabaikan.

4. Teknik Pengitlakan (Generalisation)

Teknik ini melibatkan pembinaan model bagi masalah yang mahu diselesaikan. Model boleh dibina dalam berbagai bentuk seperti formula teknik, aturan atau langkah.

Jumaat, 1 Januari 2016

Maksud Pemikiran Komputasional

Pemikiran Komputasional merupakan salah satu program pengajian terkini yang membantu pelajar menyelesaikan masalah dengan cara yang sistematik dan kreatif

Pemikiran Komputasional (English: Computational) bermaksud proses pemikiran bagi menyelesaikan masalah manusia dengan menggunakan konsep asas sains komputer.

Pemikiran Komputasional melibatkan aktiviti seperti Peleraian Masalah (English: Problem Decomposition) dari satu masalah yang besar dan rumit kepada pecahan masalah kecil yang mudah diselesaikan.

Pemikiran Komputasional juga melibatkan aktiviti Abstraksi (English: Abstraction) di mana perkara-perkara yang penting diberi perhatian dan perkara-perkara yang tidak penting diabaikan. Ia memudahkan proses penyelesaian masalah kerana tumpuan diberikan hanya kepada perkara yang diperlukan sahaja.

Antara kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan pemikiran komputasional ialah kemahiran berfikir secara logik (English: Logic) dan kemahiran membina algoritma (English: Algorithm). Di samping itu seseorang yang mempelajari pemikiran komputasional akan turut memupuk daya kreativiti dalam mencari penyelesaian, ketekunan dalam memberi tumpuan penyelesaian serta ketabahan memeriksa dan membetulkan kesilapan dalam penyelesaian.

Isnin, 5 Januari 2015

Apakah Komponen Komputer?


Komputer mengandungi banyak komponen elektrik, elektronik dan mekanikal yang dikenali sebagai perkakasan (English:hardware).

Komponen ini boleh dibahagikan mengikut peranan seperti:
Peranti Input
Peranti Output
Unit Sistem
Peranti Storan
Peranti Komunikasi

Ahad, 4 Januari 2015

Apakah Kitaran Pemprosesan Maklumat?


Kitaran Pemprosesan Maklumat adalah satu proses berulang yang terdiri dari aktiviti input-proses-ouput. Input bermaksud aktiviti memberikan komputer data yang diperlukan untuk pemprosesan. Proses bermaksud aktiviti mengubah data menjadi maklumat. Output bermaksud mengembalikan maklumat yang terhasil kepada pengguna. Maklumat yang terhasil ini mungkin akan disimpan untuk kegunaan masa hadapan atau disebarkan kepada pengguna lain melalui rangkaian komputer.

Sabtu, 3 Januari 2015

Apakah Perbezaan Data dan Maklumat?


Data adalah himpunan fakta tentang sesuatu perkara samada dalam bentuk teks, nombor, gambar, audio atau video. Maklumat pula adalah data yang telah diproses yang boleh digunakan oleh manusia kebiasaannya untuk membuat sesuatu keputusan.

Jumaat, 2 Januari 2015

Apakah Maksud Komputer?

Komputer adalah sejenis alat elektronik yang beroperasi mengikut arahan yang disimpan dalam ingatannya yang boleh menerima data lalu memproses mengikut peraturan dan kemudiannya menyimpan atau menyebarkan maklumat tadi kepada pengguna lain.